Tuesday, April 29, 2008

Seorang Tua Di Suatu Pagi

Suatu pagi di aspuri MMP....
Seperti biasa pada hari minggu, bangun awal pagi,
mengemas katil dan melaksanakan 'operasi' iaitu
beramai-ramai mengemas dan membersihkan dorm. Selesai
rutin tersebut barulah kami menyiapkan diri dan turun
ke kantin untuk bersarapan. Kalau orang lain fobia
tinggal di asrama tapi aku lain pula.Rasa seronok dan
sentiasa teruja dengan setiap aktiviti asrama.


Dorm yang aku duduki ini adalah dorm yang paling
besar. 'Bilik Dua'. Penghuninya bukan 10 orang tetapi
60 orang! Katil disusun berbaris dalam 2
'line'.Bercadar putih. Penghuninya adalah pelajar
tingkatan satu dan dua. Oleh kerana penghuninya
terlalu ramai adalah agak mustahil untuk berkenalan
mesra dengan semua orang kecuali dengan 'jiran-jiran'
yang berdekatan katil kita sahaja ataupun kawan yang
memang rapat dengan kita di sekolah.Suka juga untuk
disebutkan di sini walaupun besar dan ramai penghuni
Bilik 2 sentiasa mengungguli tempat teratas dalam
pertandingan bilik terbersih!

Jadi setelah selesai segala rutin tadi aku pun turun
ke bawah membawa buku dan alat tulis, cadangnya
selepas sarapan mahu ke kelas atau ke surau untuk
siapkan kerja-kerja sekolah dan ulangkaji.Aku ini
rajin beb!

Dari tangga aku lihat seorang pakcik berserban putih,
berbaju melayu lusuh dan berkain pelikat sedang
tertinjau-tinjau mencari seseorang. Mungkin kerana
pagi sudah terlalu meninggi, tidak ramai yang berada
di perkarangan asrama A. Teragak-agak begitu... aku
menegur. " Cari sapo pokcik?" " Ho... ambo cari Nik
Amalina, tingkate satu... mek kenal ko? ""Ohhh...
kenal.kenal sebilik denga sayo... nanti nok gi
panggil... pokcik ni sapo?" "Ayoh dio, ma dio kato dio
tak segar, suruh mari ambik... tu ye ambo mari tuh..."

Aku bergegas naik ke bilik. Terus kucari Amalina.
Mujur Amalina berada dihadapan lockernya. Sedang ralit
menghitung duit dalam tabungannya. "Dik Na, ayoh
tunggu bbawah... " Bundar matanya melihat aku. Aku
angguk-anggukkan kepala beberapa kali. Tanpa banyak
soal Amalina terus mencapai tudung dan bergegas ke
bawah untuk menemui ayahnya. Aku pula langsung ke
kantin untuk mengisi perut. Rasanya ini bukan sarapan
pagi lagi...
Ketika aku melintasi surau asrama , aku lihat Amalina
dan ayahnya tadi berjalan beriringan menuju kekereta.
Kereta merc benz yang kelihatannya sudah agak uzur.
Aku suka pakcik ini. Walau pertama kali bersua muka.
Walau aku tidak mengenali dia. Tidak kusangka lelaki
tua sederhana ini ayah kepada Nik Adilah, Nik Amani
dan Nik Amalina.

Tidak kusangka jua...
Lelaki tua, sederhana berkain pelikat berbaju lusuh
itu... rupanya lelaki inilah, yang memayungi setiap
jiwa pimpinannya dengan setulus doa, secekal harap,
dan semurni-murni penyerahan pada yang Maha Esa.
Lelaki tua ini... yang mentadbir dunianya dengan
matahati dan neraca iman, dunia ditangannya, akhirat
dihatinya, moga Tuhan memelihara dirimu dan seluruh
umat ini dengan siraman rahmah dan kasih sayang....
Terima kasih Tok Guru, Terima kasih Tuhan.

3 comments:

Man said...

syabas, selamat ber-blog

JentolakRantai 87 said...

Terima kasih... Saya akan bangunkan blog ni memandangkan wasilah yang baik untuk digunakan.

Anonymous said...

"..pengolahan g masih belum matang.."